Wednesday, October 27, 2010

pasar payang terengganu





Pasar Pusat yang dikenali sebagai Pasar Payang terletak di tepi Sungai Terengganu dan merupakan salah sebuah destinasi pelancong yang paling terkenal di Kuala Terengganu. Pasar yang terletak di dalam sebuah bangunan moden ini menawarkan pelbagai jenis hasil kraftangan tradisional seperti batik, kain sutera, songket, kain brocade and barangan logam serta sayur-sayuran yang segar.
Pelawat yang berkunjung ke pasar ini tentu seronok membeli barangan tempatan di sini pada harga yang murah. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk memerhati dan memahami budaya di sini sambil memerhati penduduk tempatan sibuk membeli-belah di sini.

taman tamadun islam




 

Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.
Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.
Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.
Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).
Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.
Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.
Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.

pulau redang






Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan.
Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.
Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni
Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya.
Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau.
Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.